KEPERLUAN UNDANG-UNDANG ANTIBERITA TIDAK BENAR.

on

 

imageDUNIA pada hari ini telah pun mengalami Revolusi Perindustrian 4.0 yang melibatkan pelbagai bidang termasuk automasi, robotik, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan internet untuk segala-galanya (IoT) serta kemajuan dalam bidang komunikasi dan digital. Kepesatan pembangunan dunia digital yang kita kecapi pada hari ini diiringi de­ngan lambakan penyebaran berita palsu disebabkan oleh lompang­nya kawalan dan tapisan.

Setakat ini, dianggarkan 43 juta rak­yat Malaysia memiliki telefon bimbit manakala 18 juta lagi memiliki akaun Facebook. Tanpa menafikan kepentingan telefon bimbit dan media sosial, kesan penggunaannya mampu memberikan impak yang negatif kepada individu, masyarakat dan negara.

Penyebaran berita palsu boleh mengancam keselamatan negara dan mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Contohnya, ketegangan sosial yang berlaku dek kerana penyebaran berita palsu yang menular ketika sesi pilihan raya Presiden Pe­rancis yang dipercayai berpunca daripada isu imigrasi dan agama. Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengemukakan cada­ngan menggubal undang-undang baharu bagi mencegah penyebaran maklumat palsu.

Sebenarnya, hampir semua ne­gara di seluruh dunia menghadapi masalah penyebaran berita palsu dalam internet yang memudahkan maklumat dikongsi dan disebar dengan begitu cepat. Negara-negara maju se­perti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan United Kingdom juga tidak terkecuali daripada isu ini. Laman sosial Facebook dilaporkan telah menggantung 30,000 akaun Facebook palsu di Perancis ketika negara itu menghadapi pilihan raya.

Selain Perancis, parlimen di Jerman meluluskan undang-undang dikenali sebagai NetzDG iaitu undang-undang penguatkuasaan rangkaian yang akan memaksa media sosial membuang kandungan jelek dan palsu. Bagaimanapun, aplikasi seperti WhatsApp terkecuali dalam pelaksanaan undang-undang tersebut.

Negara maju seperti Jerman, Perancis, United Kindom dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sudah mengorak langkah awal merangka undang-undang bagi mengekang perbuatan menyebarkan berita palsu di negara masing-masing.

Negara yang dikatakan berpotensi untuk menjadi maju seperti Malaysia sudah pasti memerlukan satu undang-undang yang khas untuk membendung masalah penyebaran berita palsu. Telah banyak berita palsu yang tular di media sosial seakan-akan kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia adalah bersifat mutlak.

Misalnya, kes pencerobohan yang dilakukan oleh puak pengganas Sulu di beberapa lokasi di Sabah. Terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu ­menuduh pihak berkuasa tidak menjalankan tanggungjawab atau memperlekeh tugas mereka yang berada di perbatasan.

Selain itu, penyebaran berita palsu dapat merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Terdapat pihak yang menyebarkan berita palsu kononnya Malaysia di ambang muflis dan mengalami kemerosotan ekonomi yang begitu mencabar. Mereka seakan akan menidakkan pengiktirafan yang diberikan oleh badan-badan antarabangsa yang menggambarkan ekonomi negara ini berkembang lebih daripada lima peratus setiap tahun.

Sekiranya aktiviti penyebaran maklumat dan berita palsu tidak dikekang, pelabur asing akan mula angkat kaki dan tidak lagi memilih Malaysia untuk aktiviti pelaburan. Bukan itu sahaja, hal ini juga akan merencatkan semangat bakal-bakal pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

Penyebaran berita palsu dapat melemahkan keabsahan (legitimacy) sesebuah kerajaan. Kerajaan yang stabil dan kukuh dikatakan kerajaan yang dipilih dan disokong oleh rakyat. Kerajaan dikatakan mempunyai hak untuk mentadbir negara apabila mereka dipilih secara sah dalam pilihan raya.

Kerajaan dan rakyat saling memerlukan antara satu sama lain dalam usaha untuk bersama-sama membangunkan negara. Sekiranya penyebaran berita dan fitnah berlaku secara berleluasa, ia akan mengurangkan keya­kinan rakyat terhadap kerajaan.

Kesannya, berlaku pertumpahan darah, huru hara, caci mencaci dan pelbagai lagi perkara negatif yang merosakkan imej negara. Akhirnya, rakyat akan menentang atau tidak menyokong dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan yang dipilih secara sah dan hal ini merencatkan lagi usaha pembangunan negara.

Kebebasan dan keterbukaan tersebut kadangkala menjejaskan kredibiliti dan maruah golongan atau individu tertentu yang sepatutnya dipelihara boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat. Berita palsu ataupun fitnah yang tersebar menjadikan masyarakat hidup dalam kecelaruan, kehairanan dan dikuasai hasad dengki, angkuh, tamak haloba dan gila kuasa.

Bahaya penyebaran berita palsu juga dapat dipelajari melalui sejarah yang berlaku di Tanah Melayu dahulu. Tidak dinafikan bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kejatuhan Melaka. Tetapi, faktor kelemahan dalaman seperti fitnah memfitnah dan penyebaran berita palsu dalam kalangan orang besarnya juga perlu diambil kira untuk dijadikan teladan.

Sebenarnya terdapat banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk mengekang masalah penyebaran berita palsu seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 (disemak 1969), Kanun Keseksaan membabitkan fitnah jenayah serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (SOSMA) 2012 juga boleh digunakan untuk mencegah penyebaran berita palsu.

Namun, akta-akta ini perlu di­semak semula agar peruntukannya, contohnya dari segi hukuman, selaras dengan peredaran masa. Namun, akta yang baharu yang lebih khusus se­perti Undang-Undang Antiberita Tidak Benar adalah penting bagi mengekang kelestarian penyebaran berita dan maklumat palsu di negara ini.

Ada pun akta sebegini nanti, pelaksanaan akta tersebut perlulah dilakukan dengan sebaik-­baiknya, adil dan telus agar maksud dan tujuan sebenar pembentukan akta tersebut tercapai.

PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang.

UTUSAN

Leave a comment