TANGANI MASALAH KESIHATAN MENTAL.

th (8)

OLEH-TAN SRI LEE LAM THYE

SESUATU yang amat merisaukan apabila sejak kebe­lakangan ini terdapat banyak kes keganasan yang melibatkan mangsa dan pelaku yang datangnya daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, kita harus menerima hakikat bahawa masyarakat kini berhadapan dengan pelbagai jenis tekanan sehingga menyebabkan mereka bertukar menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Terbaharu, kita dikejutkan dengan kes pelajar berusia 18 tahun, T. Nhaven, yang koma selepas dia dipercayai diserang, dibakar dan diliwat oleh sekumpulan remaja di sebuah padang di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Kejadian itu berlaku kurang daripada dua minggu selepas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun, selepas dia didakwa dibuli oleh sekumpulan pelajar universiti di Serdang.

Insiden buli dan perlakuan ganas dalam kalangan belia dan pelajar perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa serta semua mereka yang berkepentingan termasuk pihak sekolah dan ibu bapa. Kebanyakan remaja dan pelajar terjebak ke dalam jenayah kerana pengaruh rakan sebaya, kurangnya bimbingan ibu bapa, pengaruh buruk daripada internet serta penularan budaya samseng.

Selain itu, kita juga sering membaca berita mengenai penderaan kanak-kanak walaupun hukuman berat telah pun diperkenalkan melalui pindaan Akta Kanak-kanak tahun lepas. Sejak kebelakangan ini juga, terdapat kes yang melibatkan orang ramai membelasah suspek kes jenayah sehingga individu tersebut cedera teruk atau mati.

Trend ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa dan masyarakat secara ke­seluruhannya supaya penyelesaian yang berkekalan dapat dicari.

Saya percaya kebanyakan kes ini berlaku akibat tekanan perasaan dan masalah mental yang sedang dialami anggota masyarakat. Masalah kesihatan mental ini antara lain disebabkan oleh bebanan kerja yang berat, persekitar­an yang tidak kondusif dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 me­nunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, atau 29.2 peratus populasi negara, menghidapi pelbagai masalah mental.

Jumlah itu amat membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006. Lebih merisaukan, masalah ini turut melibatkan pelajar apabila bilangan mereka yang berhadapan masalah mental telah meningkat daripada satu dalam kalangan 10 individu pada 2011 kepada satu dalam kalangan lima individu pada 2016.

Pakar berpendapat kegusaran dan tekanan perasaan sebagai punca utama masalah mental dalam kalangan pelajar. Faktor penyumbang utama lain termasuk masalah keluarga, buli secara fizikal atau di alam siber serta masalah dalam pembelajaran akibat tekanan ibu bapa dan guru.

Kementerian Pendidikan seharusnya melatih lebih ramai guru menjadi kaunselor agar mereka dapat mengenal pasti pelajar yang bermasalah dan melentur mereka menjadi insan yang berguna dan menolak keganasan.

Saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan di hospital bagi memastikan mereka tidak mengalami tekanan mental yang dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung pada tahun 2020.

Kerajaan juga perlu mencari jalan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif di taman-taman perumahan, terutamanya di kawasan untuk golongan berpendapatan rendah. Kawasan perumahan yang padat serta tidak mempunyai kemudahan riadah sebagai contoh, akan menyebabkan golongan remaja terjebak ke dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak, mengambil dadah dan terlibat dalam keganasan.

Pada masa sama, situasi ini juga akan melahirkan masyarakat yang menghidap tekanan mental sehingga mereka tidak lagi dapat membezakan perbuatan yang betul dan salah lalu menjadikan keganasan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah.

Saya juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, termasuk apabila mereka melakukan tangkapan awam atau citizen arrest terhadap suspek jenayah.

Amat malang jika tindakan mereka membelasah suspek jenayah sehingga menyebabkan kematian kerana mereka boleh didakwa dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sehingga mati.

Walaupun saya menggalakkan orang ramai untuk membantu pihak berkuasa menahan suspek jenayah, mereka seharusnya menghubungi dan menyerahkan suspek kepada pihak polis dengan kadar segera untuk tindakan selanjutnya.

Saya percaya kita boleh mengurangkan kes keganasan ini jika kita menanganinya secara holistik, termasuk meng­atasi isu kesihatan mental yang menghantui segenap lapisan masyarakat.

Masalah kesihatan mental ini perlu ditangani dari pe­ringkat pelajar sekolah sehingga ke golongan belia, pekerja dan pesara agar kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan dapat dikekalkan manakala kes keganasan dapat dikurangkan secara berkesan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis sosial.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: