Raja Perlis Mahu Umat Islam Perbaiki Diri

on
PR03_021016_MAAL_HIJRAH
KANGAR, 2 Okt — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan trofi Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis kepada Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (dua, kiri) pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438 Peringkat Negeri Perlis hari ini. –fotoBERNAMA (2016) HAKCIPTA TERPELIHARA

 

KANGAR,  (Bernama) — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu semua umat Islam memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih baik demi memenuhi tuntutan hidup sebagai manusia.

Menurut baginda, sesiapa yang berusaha mencapai sesuatu yang lebih baik dalam kehidupannya sudah melakukan sebahagian daripada maksud hijrah dan mendapat pahala hijrah jika ia diniatkan untuk memperoleh keredaan Allah.

“Setiap daripada kita pasti telah melihat kebenaran, tetapi atas pelbagai faktor seperti keluarga, kerjaya, dan budaya, diri merasa berat untuk meninggalkan kepercayaan, nafsu, dan amalan yang mungkar dan berdosa.

“Oleh itu, rakan-rakan pendakwah, sama ada daripada golongan profesional, ulama, badan Agama Islam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu meneruskan usaha untuk membimbing saudara baru kita,” titahnya.

Baginda bertitah di hadapan 2,000 hadirin pada majlis sambutan Maal Hijrah 1438H/2016M peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Perlis bertitah walaupun peristiwa hijrah baginda Rasulullah SAW sudah lama berlalu, namun ianya tetap menjadi satu sejarah untuk dikenang dan dipelajari oleh umat Islam untuk sentiasa mengingati diri dan sedia berubah memacu kecemerlangan.

Pada majlis itu, Raja Perlis berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Perlis 2016 kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, 60, yang menerima wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan.

Antara sumbangan besar Mohamad Zabidi yang telah berkhidmat selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam ialah menggerakkan kepakaran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk melaksanakan program transformasi Majlis Agama Islam di beberapa negeri termasuk Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin juga turut menyampaikan Anugerah Maal Hijrah 2016 kepada tiga penerima iaitu bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Mohamad Sokri Husin, Pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Perlis Abdul Rahim Abdullah dan Pengerusi Liga Muslim Perlis Datuk Dr Mohamad Sha Ahmad.

Selain itu, baginda turut menyampaikan beberapa anugerah lain iaitu Anugerah Jaizah Maal Hijrah 2016, Anugerah Didik Maal Hijrah 2016, dan Anugerah Masjid Terbaik.

— BERNAMA

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s